Ahad, 28 Julai 2013

HALWA BELIMBING BULUH

Biasanya apabila tiba musim belimbimg buluh berbuah, selalunya banyak buah tersebut gugur begitu sahaja ke tanah .Buahnya yang masam tidak digemari oleh masyarakat kita. Kalau ada pun cuma untuk dibuat sambal belacan atau dicampur dalam masak lemak ikan kembung. Untuk mengelakkan pembaziran buah belimbing boleh dijadikan halwa.InsyaAllah anda akan menggemarinya kerana rasanya yang masam-masam manis.

Biasanya belimbing buluh berwarna hijau tetapi yang ini dari jenis yang berwarna kuning.Petik buah belimbing buluh tidak kira besar ataupun yang kecil dan bersihkan.

Rendam dalam balang berisi air yang telah dicampur tiga sudu makan garam dan sesudu makan kapur sirih selama satu malam.Esoknya cuci belimbing itu bersih-bersih untuk menghilangkan rasa kapur dan garam.Mengikut kaedah ini kita tidak perlu mencucuk buah belimbing: bertujuan supaya rasanya tidak terlalu manis nanti.


Masakkan sesuku balang air dengan sekilo gula pasir hingga mendidih.Masukkan sedikit pewarna kuning telur untuk menghasilkan warna yang ceria. Sejukkan air gula lebih kurang satu jam.

Masukkan air gula ke dalam balang yang telah berisi belimbing yang telah dibersihkan tadi.Biarkan selama dua hari di dalam peti ais bersuhu 13 darjah Celcius.

Setelah dua hari, tuangkan air gula dari balang yang berisi belimbing(belimbing tak perlu dikeluarkan) ke dalam periuk dan panaskan hingga mendidih.Sejukkan kira-kira satu jam. Seterusnya masukkan semula air gula itu ke dalam balang berisi belimbing. Ulang proses memanaska air gula ini selang seminggu pula sehingga rasa belimbing berubah menjadi masam-masam manis.
Beginilah rupa halwa belimbing buluh yang sudah boleh dimakan. Untuk mendapatkan halwa yang kering, toskan air gula dan jemur halwa belimbing di panas matahari.
Selamat mencuba